KUALA LUMPUR – Selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti sensasi Fattah Amin dan Fazura akan mengadakan majlis resepsi pada 25 Februari ini.
Menerusi edaran kad undangan kepada pihak media, majlis tersebut akan diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Pasangan yang beza umur tujuh tahun itu selamat melangsungkan pernikahan dalam majlis tertutup yang diadakan di sebuah hotel terkenal, di ibu negara pada 27 November lalu.
Kronologi kisah cinta Fattah, 27, dan Fazura bermula apabila kedua-duanya membintangi drama bersiri popular sehingga membuatkan peminat mencipta gabungan nama berserta tanda pagar #Fattzura.
Ketika mengerjakan umrah pada 15 hingga 23 November lalu, pelbagai spekulasi mengenai ikatan sebenar pasangan ini timbul, sekali gus ada yang mengatakan mereka sudah bernikah ketika berada di Tanah Suci Makkah.
Enggan terus berteka-teki, Fattah dan Fazura meleraikan tanda-tanya itu dengan memaklumkan mereka sudah mengikat tali pertunangan pada 13 November. – MalaysiaGazette